Seandainya kamu diberikan pilihan, kamu nak pilih dilahirkan sebagai anak nombor berapa? Ada yang kata nak jadi anak sulung, ada yang pilih nak jadi abang atau kak ngah, tak kurang juga yang nak jadi anak bongsu.
Masing-masing ada alasan tersendiri. Namun, anak tengah atau anak kedua ini dikatakan unik sedikit. Tak kurang juga yang kata, anak tengah berbeza dan penuh misteri.  Seandainya kamu dilahirkan sebagai anak tengah, apa kata kita kaji persamaan yang ada antara sesama kita.
Nama pun ANAK TENGAH atau KEDUA. Jadi, pastinya anak tengah memiliki sifat dan keunikan yang tersendiri. Tentunya mereka ini akan lebih matang dan dewasa dalam segala hal. Maklumlah, anak tengah. Jadi, perlu menghormati kakak atau abang, juga adiknya.
Maka tidak hairanlah jika anak tengah ini dikatakan sering berlapang dada dan mengalah dalam segala hal. Ini disebabkan keadaan keluarga yang membentuk diri mereka jadi begitu.
-----------------------------------
Fakta Menarik Anak Kedua
-----------------------------------
Anak kedua dikatakan sering mengalah kerana mereka perlu hormat pada abang atau kakak, malah perlu mengalah pada si adik. Jadi, menjadi anak kedua ada kala sering terasa seolah-olah disisihkan. Betul tak?
Fakta menarik mengenai anak kedua daripada pakar perubatan dan ahli psikologi, Alfred Adler berpendapat urutan kelahiran menentukan keperibadian seseorang. Berikut merupakan pendapatnya mengenai ANAK KEDUA.
1. Terasing
Anak kedua sering merasa seperti disisihkan oleh keluarganya sendiri. Keadaan ini mungkin disebabkan oleh ibu bapa yang sering memberikan perhatian yang lebih kepada anak pertama. Maklumlah, kelahiran anak pertama itu yang sering dinanti-nantikan. Jadi, memang itu yang sering mendapat perhatian. Lagipun, anak pertama dikatakan perlu diberi perhatian yang lebih agar lebih terdidik dan terjaga supaya boleh menjadi ikutan adik-adiknya yang lain.
Selain anak sulung, anak bongsu juga sering diberikan perhatian yang lebih. Yelah, anak kecil yang di bawahnya sudah tiada lagi adik dan merasakan itulah yang perlu dilindungi. Ada kala, ibu  bapa terbawa-bawa sehingga anak itu meningkat umurnya.
Jadi, tinggallah anak kedua seorang diri dan kurang mendapat perhatian keluarga.  Maka, tidak hairanlah anak kedua selalu kita lihat mempunyai SAHABAT BAIK atau ‘BFF’ atau ‘Best-Friend-Forever’. Mereka menjadikan ‘BFF’nya itu ada kala melebihi keluarga sendiri.
2. Gemar bersahabat
Mungkin disebabkan anak kedua sering tersisih oleh keluarga, jadi mereka lebih senang menjalinkan hubungan dengan orang lain. Mereka akan berusaha membuat orang lain selesa dengan persahabatan itu agar hubungan mereka terus utuh.
Namun, sifat ini juga ada sisi negatifnya. Anak kedua tidak berani membuat keputusan dalam segala hal, terutama yang melibatkan dirinya. Dia takut jika keputusan itu akan menyusahkan orang lain. Jadi, kalau nak cari pasangan atau sahabat sejati, carilah anak kedua. Sebab...dia pasti akan menjadi pasangan atau teman terbaik yang pernah kamu miliki.
3. Kreatif dan Fleksibel, Suka Kebebasan
Disebabkan selalu bersendirian dan bersemangat dalam melakukan sesuatu membuatkan anak kedua sering berimaginasi dalam mengembangkan bakatnya. Disebabkan itu kita sering lihat anak kedua akan bekerjayang berkaitan dengan seni dan kurang gemar bekerja di bawah tekanan.
Anak kedua juga gemarkan kebebasan dalam pekerjaan, fleksibel, dan tugasan yang mampu membuatkan mereka mengekspresikan diri. Juga pekerjaan yang tidak mengekang dari segi waktu atau peraturan pejabat yang terlalu ketat. Disebabkan ini juga, ada sesetengah anak kedua yang gemar memilih untuk menjadi ‘freelancer’ atau sambilan, ataupun bekerja di tempat-tempat yang mereka sukai.
4. Paling Berbeza
Tidak dapat disangkal lagi, anak kedua biasanya akan selalu berusaha untuk mendapatkan perhatian daripada ibu atau ayahnya. Oleh sebab itu, mereka akan selalu berfikir tentang bagaimana untuk mendapatkan perhatian. Sebab itulah mereka selalu akan melakukan perkara yang berbeza supaya ibu bapa sedar akan kewujudan mereka.
5. Masalah hubungan
Disebabkan anak kedua sering mendambakan perhatian, dia akan sering berasa takut, hubungan dengan keluarga pun tidak berjalan dengan baik. Ini membuatkan mereka sukar untuk membentuk sebuah keluarga dan bermasalah dengan pasangannya.
Mereka gemar menuntut perhatian yang lebih dan mempunyai sikap berprasangka yang sebenarnya mereka sendiri tak inginkan. Lebih teruk lagi, mereka akan sering menyalahkan diri sendiri dalam segala hal!
Cara untuk mengurangkan sifat negatif pada anak kedua ini adalah dengan memberikan perhatian yang lebih kepada anak kedua ini. Dengan itu, mereka akan membesar dengan mempunyai peribadi dan karakter yang baik.
Selain itu juga, perhatian yang cukup akan menjadikan mereka seorang yang membesar dengan penuh kasih sayang. Sehingga orang di sekeliling mereka pun akan berasa selesa dengan mereka.

Okey, dah habis membacanya? Bagaimana rasanya? Ada tak salah satu atau dua karakter ini yang seakan-akan dengan kamu? Jika ada kekurangan, kita berusahalah memperbaiki kekurangan itu. Selain daripada turutan lahir, sebenarnya keadaan persekitaran juga faktor penyumbang kepada tumbesaran kita.


                ↓  TENGOK JUGA